Bitcoin #3 – Hukum Matawang Kripto Bitcoin

Bitcoin yang dicipta oleh Satoshi Nakamoto dibentuk dengan matlamat menyediakan suatu perantara pembayaran yang menawarkan kemudahan alternatif ‘peer to peer electronic cash system’.

Membolehkan pemilik unit-unit Bitcoin memindahkan pemilikan unitnya kepada pihak lain sebagai bayaran bagi khidmat, pembelian aset atau kiriman wang (remittance) dengan lebih pantas, murah dan mudah tanpa perlu melalui medium institusi kewangan.

Ketika artikel ini di tulis, harga Bitcoin ialah RM118,999 seunit. Sumber Luno Malaysia.

Hukum Matawang Kripto Bitcoin, Ethereum, Ripple, Litecoin dan lain-lain.

Ulama berbeza pendapat mengenai hukum matawang kripto Bitcoin ketika artikel ini di tulis.

Perbezaan pendapat di kalangan para ulama ialah dalam menentukan klasifikasi, sifat dan status Bitcoin dari sudut kesahihan nilai dan pengiktirafannya sebagai harta bernilai (Mal Mutaqawwam).

Perbezaan seterusnya di kalangan para ulama adalah, dalam menentukan hukum transaksi dengan Bitcoin yang merangkumi proses berdagang (menjual dan membeli), menyimpan dan menggunakannya serta kewajiban zakat ke atasnya.

Tiga Pandangan Ulama Terhadap Bitcoin.

Terdapat TIGA pandangan Ulama yang berbeza bagi menentukan hukum menggunakan Bitcoin.

1. Pandangan Yang Mengharamkan

Darul Iftaa’ Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir)

Keterlibatan dalam urusan bitcoin adalah tidak dibolehkan dari sudut syarak kerana risikonya yang terlalu besar terhadap individu dan negara. Menurut Mufti Republik Mesir Syeikh Shauqi ‘Allam, bitcoin diharamkan berdasarkan kepada alasan-alasan yang berikut:

(a) Bitcoin tidak menepati syarat untuk diiktiraf sebagai mata wang.

(b) Ia mempunyai unsur jahalah, gharar dan manipulasi yang amat sukar dikawal.

(c) Ia tidak mempunyai nilai sandaran dan tidak dikawal selia mana-mana pihak berautoriti.

(d) Pengeluaran mata wang adalah hak mutlak pemerintah dan institusi kewangan rasmi sesebuah negara.

(e) Ia juga boleh menjadi saluran untuk kegiatan-kegiatan haram dan melanggar undang-undang seperti mendanai aktiviti pengganas (Daesh), penggubahan wang haram dan mengelak daripada membayar cukai (tax evasion).

(f) Ia adalah pelaburan yang berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kerugian menyeluruh terhadap pelabur, serta pelabur juga tidak disediakan sebarang ganti rugi atas kerugian tersebut.

Syeikh Ali Qaradaghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia)

Beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang mengharuskan atau mengharamkan Bitcoin secara mutlak, dan beliau menggesa agar para ulama dan pakar ekonomi mengadakan satu pertemuan khas bagi mencapai satu kata sepakat berkenaan isu ini.

Sistem pengeluaran dan transaksi bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’ie, kerana ia amat terdedah kepada kegiatan-kegiatan haram dan salah guna oleh pihak tertentu, seperti penggubahan wang haram serta menggugat integriti sistem kewangan negara.

Tambah beliau lagi, kebanyakan mata wang kripto yang ada pada masa sekarang tidak menepati syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk sesuatu itu diiktiraf sebagai mata wang:

  • Medium pertukaran (medium of exchange)
  • Penyimpanan nilai (mahkzunan lil tsarwah atau store of value)
  • Ukuran kestabilan (Miqyas lil Qiyam)
  • Ukuran penerimaan umum (Mi’yar li Tadawul)

Menurutnya lagi, bitcoin boleh menjadi harus jika sekiranya penambahbaikan dilakukan terhadapnya dan ditetapkan beberapa dhawabit (parameter) dalam pelaksanaannya.

Antara cadangan beliau adalah supaya kerajaan mengiktirafnya dan menjadikannya sebagai mata wang alternatif kepada mata wang sedia ada bagi melindungi para pelabur daripada sebarang kerugian, dan agar kerajaan boleh mengawal selia segala aktiviti berkaitan.

Wifaq al-‘Ulama (United Kingdom)

Menurut badan ini, bitcoin adalah tidak dibenarkan atas beberapa faktor, iaitu harganya di pasaran yang sangat tidak stabil, serta kaedah penempaan bitcoin (mining) yang mempunyai unsur perjudian.

Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah

Beliau secara peribadi menyatakan bitcoin dilihat satu alat baru yang tidak dapat dipastikan identitinya secara khusus sama ada ia berbentuk mata wang atau sebaliknya.

Namun, dalam masa yang sama tidak dinafikan terdapat beberapa isu syariah terhadap mata wang ini seperti kadar spekulasi yang tinggi, mudah berlaku penyelewangan dan penipuan, tiada sandaran, tiada kawalan daripada pihak berautoriti dan sebagainya.

Oleh itu, disebabkan faktor-faktor tersebut, beliau berpandangan bitcoin tidak diharuskan bagi menjaga kepentingan masyarakat awam.

Artikel berkaitan:  Bitcoin 1# - Cara Beli Bitcoin Di Malaysia

2. Pandangan Yang Mengharuskan

Datuk Dr. Mohd Daud Bakar (Pengerusi Eksekufti Amanie Advisors) dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah BNM dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah SC)

Dalam satu pembentangan dalam program ‘Cryptocurrency, Blockchain & Distributed Ledger Technology: Synergizing Technology & Shariah’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 29 November 2017, beliau menyimpulkan bahawa Bitcoin adalah patuh syariah, namun masa depan mata wang kripto tersebut masih lagi tidak jelas.

Beliau berpandangan pelaburan dalam Bitcoin adalah harus, dan keuntungan yang diperoleh dikenakan zakat.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman (CEO Elzar Shariah Advisory Sdn Bhd)

Seteleh melakukan penelitian, beliau mengatakan bitcoin boleh digunakan dalam urusan jual beli kerana ia menepati ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, namun ia bukanlah satu legal tender iaitu mata wang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara.

Beliau juga mengharuskan menyimpan Bitcoin sekadar untuk menyimpan nilai dan melawan inflasi, dan untuk dijual semula apabila memerlukan wang tunai pada masa hadapan, dan tidak harus disimpan sebagai satu bentuk pelaburan.

Beliau mengingatkan bagi sesiapa yang telah melibatkan diri dengan Bitcoin untuk membayar zakat simpanan apabila cukup haul, selain larangan daripada memperdagangkan Bitcoin kerana ia adalah satu bentuk mata wang yang dilarang daripada diperdagangkan dalam Islam.

Mufti Muhammad Abu-Bakar

Berdasarkan kajian yang beliau lakukan bertajuk Shariah Analysis of Bitcoin, Cryptocurrency, and Blockchain, beliau cenderung untuk mengharuskan bitcoin dengan beberapa syarat:

  • Bitcoin hanya diharuskan di negara-negara yang tidak melarang transaksi bitcoin. Adapun jika undang-undang negara tersebut melarang, maka ia turut dilarang daripada sudut syariah.
  • Bitcoin haruslah dijual beli / digunakan sebagai satu mata wang menurut tujuan asal ia dicipta, dan bukannya sebagai satu aset pelaburan.
  • Beliau turut menasihatkan pengguna agar berhati-hati dengan sebarang skim penipuan yang cuba memperdaya pengguna dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda atas nama pelaburan bitcoin, serta risiko kerugian yang bakal dihadapi memandangkan ketidakstabilan nilainya di pasaran.

3. Tawaqquf (belum memberi pandangan secara rasmi)

International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)

Dalam satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr. Marjan Muhammad di Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital di Dewan Besar IKIM (28 Februari 2018), dikemukakan beberapa pandangan badan fatwa dan sarjana berkenaan isu bitcoin ini.

Namun ISRA tidak melakukan sebarang pentarjihan ke atas mana-mana pendapat.

Fatwa Bitcoin Negeri Perlis

  1. Sifat dan kesahihan nilai harta pada Bitcoin : Ianya sah dan boleh diiktiraf sebagai punyai nilai harta berdasarkan sifat ‘multi-function and benefit’ yang diperolehi oleh pemilik Bitcoin.

    Justeru, Bitcoin boleh disifatkan sebagai aset digital dalam bentuk yang unik serta mempunyai pelbagai manfaat tersendiri yang harus (mubah) khususnya bagi komuniti yang tahu mengguna dan memanfaatkannya.

    Bitcoin pada ketika ini juga dianggap tidak mencukupi syarat bagi klasifikasi mata wang, maka ia tidak boleh dianggap sebagai mata wang serta tidak terpakai ke atasnya garis panduan hukum Sarf.
  2. Harus bertransaksi dengan Bitcoin sebagai perantara pembayaran, pemindahan wang, aset simpanan dan berdagang dengannya. Namun hendaklah mengambil kira apa yang disebutkan dalam perkara lima (5) di bawah.
  3. Disebabkan Bitcoin diiktiraf sebagai aset bernilai, maka setiap pemilikan yang melebihi nilai 85 gram emas serta cukup tempoh pemilikan selama satu tahun, wajib ke atas pemilik Bitcoin untuk membayar zakat harta sebanyak 2.5 % dari nilai semasa Bitcoin tersebut.
  4. Mereka yang ingin menggunakan Bitcoin juga wajib memahami selok belok penggunaan Bitcoin. Ini penting bagi mengelakkan elemen gharar sewaktu menggunakannya.

    Selain itu, pihak terbabit juga mesti terlebih dahulu memahami tahap tinggi risiko-risiko yang berkait dengan transaksi Bitcoin.
  5. Hukum penggunaan Bitcoin boleh berubah menjadi HARAM atau ditegah disebabkan beberapa faktor luaran seperti :

    – Apabila diharamkan penggunaannya oleh kerajaan ketika itu ia juga menjadi haram dari segi hukum Syariah atas dasar kemaslahatan awam dan mengelak mudarat menurut penilaian oleh pihak ulil amri.

    – Apabila menyertai SKIM Bitcoin melalui skim cepat kaya anjuran orang tengah atau syarikat pengantara yang menjanjikan keuntungan tetap atau lumayan. Ini adalah HARAM dari sudut syariah dan juga undang-undang setempat. Inilah yang menyebabkan ada yang membeli Bitcoin melalui akaun yang dimiliki syarikat seperti itu lalu berlakunya penipuan.
Artikel berkaitan:  6 Langkah : Cara Selamat Dan Menguntungkan Melabur Kripto Di Luno

KESIMPULANNYA.

Berdasarkan pandangan Ulama, dan fatwa Mufti di atas. Boleh disimpulkan, matawang kripto seperti Bitcoin diharuskan untuk dimiliki oleh umat Islam di Malaysia, namun tertakluk kepada beberapa syarat yang ketat.

Ini kerana, kerajaan Malaysia kini menerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memberikan kelulusan penuh kepada permohonan Luno untuk beroperasi sebagai Pengendali Pasaran yang Diiktiraf (RMO).

Luno adalah pertukaran matawang kripto pertama di Malaysia yang menerima kelulusan ini pada Oktober 2019.

SC telah mengesahkan bahawa Luno telah memenuhi semua syarat yang diperlukan dan kini boleh menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk membeli, menjual dan menyimpan matawang kripto di platformnya.

Selain Luno, terdapat dua lagi pengendali pertukaran matawang kripto yang dibenarkan beroperasi di Malaysia, iaitu SINEGY Technologies, dan Tokenize Technology.

Dengan pengiktirifan ini, pengendali pertukaran matawang kripto seperti Luno tertakluk kepada undang-undang, dan peraturan di Malaysia.

Ini dapat membantu meningkatkan kepercayaan, dan dapat membendung pengendali yang tidak diiktiraf, selain membentuk asas untuk menyelaraskan pelan masa hadapan institusi kewangan untuk masuk ke dalam ekosistem kripto.

Ia juga akan memastikan bahawa perniagaan matawang kripto yang diluluskan mempunyai standard yang mencukupi untuk pelindungan pelanggan dan dana mereka.

Pandangan kami juga boleh berubah, bergantung kepada penerimaan matawang kripto oleh pemerintah, dan masyarakat pada masa akan datang.

Paling penting, jauhkan diri daripada skim cepat kaya, dan skim bitcoin yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal dalam masa singkat.

Belum ada Bitcoin? Beli sekarang sementara masih “murah” di Luno Malaysia di sini.

Gunakan kod jemputan ini bagi mendapatkan bitcoin bernilai RM25 : ATFJHF

bitcoin-luno-malaysia

Apa pula pandangan anda? Boleh tinggalkan di ruangan komen di bawah.

Sumber:

https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2773-bayan-linnas-153-hukum-penggunaan-mata-wang-bitcoin

https://mufti.perlis.gov.my/index.php/himpunan-fatwa-negeri/95-fatwa-bitcoin

Kongsi jika bermanfaat:

Leave a Reply

× Boleh saya bantu?